Thursday, January 25, 2007

Galeri foto aktiviti

























































Ini adalah diantara gambar aktiviti kami

Didalam majalah SeniBeladiri






Gambar saya didalam majalah

Rencana kepada majalah SeniBeladiri

1. Kenapa Nama Silat Kalimah Panglima Tangkas.

Kenapa saya menggunakan nama Pertubuhan Seni Silat Kalimah Panglima Tangkas. Seni setiap sesuatu yang boleh menghidupkan jiwa yang hidup. Kalimah adalah kata-kata rohani dan rabani. Panglima orang yang gagah berani serta pandai bermain senjata / pahlawan dan Tangkas membawa erti pantas, cergas, cepat gerak gerinya.


Saya masih mengekalkan permainan Silat Kalimah. Saya diterima bermain Kalimah oleh Pak Zohdi ditamatkan pelajaran oleh Pak Muslim, mengulangkaji semula dengan Pak Zohdi dan berdikusi dengan Pak Johari. Di amanah mengajar oleh Pak Muslim. Lahirnya Kalimah Panglima Tangkas adalah dengan pengetahuan Pak Zohdi, berlaku kerana masalah dalaman. Saya melihat mengembangkan silat ini lebih penting dari terlibat dalam ribut secawan kopi. Apatah lagi saya telah melangkah dan mempunyai gym silat. Anak didik saya telah membuktikan silat Kalimah boleh pergi jauh dan membawa objektifnya yang sebenar, antaranya keluar dari tempurung.


Pak Muslim selalu berpesan dengan saya “Silat ini cantik seni tarinya, seni dan kaedah kaji dan kaji permainan ini olah kanlah sebaik-baiknya”. Maka itulah saya lakukan, menambah baik permainan, pelajaran tangan kosong dan bersenjata, permainan parang klewang. Tanpa membuang petua dan kaedah permainan. Ungkapan yang biasa didengar “rasa buah baru tari”, “pakai tak pakai selagi tak pakai, pakai”. Bertari selicik Pak zohdi gerak setangkas Pak Muslim.


Saya juga berguru dengan cikgu Azlan Ghani, mengikuti beliau menemui guru-guru tua (persilatan) disekitar tanahair. Pengalaman yang diterima , ilmu yang dititip, pengalaman diri dan pakaian diri turut mencorak pertubuhan Silat yang saya bawa. Contohnya Senaman Tua menjadi amalan sebelum bersilat,”yang tak ada dicari, yang ada usah digaduhkan, kok ada satu jadi dua, kok sepuluh jadi sebelas”(Pak Long Rashid,Guru Utama Seni Silat Gelut Lintau).

Saya masih belajar dan mengkaji, menyampai untuk memantapkan ilmu, tidak berhasrat menjadi pak guru kerana diri orang kecil. Kalau nak tahu yang dalam, selam bukan menyelam, mata ibarat hati terang supaya semua nampak (majalah Seni Beladiri). Pesan Pak Zohdi mulia manusia kerana ilmu, mulia ilmu kerana amal, kerana amal datang karamah.

2. Pandangan saya tentang Silat

Mengajar silat ini seperti kebetulan atau takdir, kerana tiada dalam perancangan. Jauh sekali dikenali orang kerana diri tidak sehebat mana. Namun pengalaman di Bumi Kenyalang yang menghimpun seribu kisah tawa ria tangis duka laman rasa seorang perantau yang menabur khidmat bakti. Permintaan abah yang risau akan sikap diri yang mungkin terlalu berani lantaran menurutnya mengalir darah pendekar dalam diri dan aliran keluarga pesilat. Permintaan seorang pelajar perempuan yang tidak tahan dibuli
dan melihat kawan-kawannya menjadi mangsa pelajar samseng. Akhirnya mengubah pandangan saya.

Kini saya bukan sahaja mengajar silat tetapi turut membawa nama pertubuhan. Silat ada ruhnya sendiri, keadaan disekolah tempat saya mengajar berubah dengan tertubuhnya silat. Saya melihat silat dari sudut yang luas, ceritanya bukan setakat ilmu gaduh / perang,
Silat dalam ertikata era moden. Lantaran itu saya mempunyai gym silat, supaya semua orang tahu tentang silat, silat bukan belajar sembunyi-sembunyi atau dalam gelap. Silat sekarang perlu perubahan yang tidak menolak adat dan petua permaianan orang Melayu, sekalipun rahsia tetap rahsia bertunjang syariat Islam.

Membicara tentang silat ,akhirnya menyentuh juga tentang jati diri orang Melayu, sayang diri sayang bangsa, silat hak orang Melayu mempunyai hubungkait dengan akar umbi bangsanya. Juga simbol ketuanan Melayu. Mungkin saya sebagai guru sekolah dan melihat keadaan ini , saya memikul beban tugas silat sebagai penyampai. Dalam aliran ini lah saya berjuang, silat bukan untuk ditiru tetapi untuk diperjuangkan.


Saya melihat silat dalam skop yang lebih luas, ianya adalah jatidiri oarang Melayu. Satu perjuangan yang baru perlu untuk mengelakan ia tercicir dibumi sendiri. Silat adalah warisan budaya Melayu, pengamalannya menunjukkan ciri-ciri Melayu. Melayu mudah lupa, silat mengingatkan ia tentang kegemilangan silam bangsanya. Cerita Hang Tuah, Hang Nadim, Tun Teja seharusnya diulang lebih dari cerita Cinderella atau Snow White.

Bersilat adalah displin ilmu, bersilat mengalakan mencari ilmu. Kedangkalan ilmu menyebabkan banyak orang Melayu Islam hidup dalam keraguan. Kekeliruan terhadap ajaran yang diterima, kurang pengetahuan, kurang sumber untuk mendapat ilmu pada masa yang sama mahu menjadi seorang Islam yang baik. Akhirnya menolak silat kerana ada baca-baca.











Bersilat menekan peri pentingnya mempertahankan hak. Kewaspadaan bukan kecurigaan, tidak tunduk tapi berjaga-jaga. Pepatah Melayu jangan dah terhantuk baru tergadah , soalnya kenapa sampai terhantuk.

Bersilat adalah senaman, kenapa tunggu penyakit datang menjengah .

Bersilat memerlukan ketekunan dan sabar. Istiqamah adalah ketekunan yang dituntut untuk mendapat kejayaan. Sabar membawa muhasabah diri membina amalan yang baik untuk menganalisa diri.

Bersilat membina jati diri, jati diri Islam sebagai benteng menghadapi pelbagai cabaran, membina yakin diri.

Bersilat adalah tuntutan agama.

Bersilat juga membantu dari segi ekonomi.Sumbangan dan permuafakatan boleh digunakan untuk memajukan ahli dan menyelesaikan masaalah kewangan.

Ini adalah di antara yang saya fikir gunanya silat dan bersilat. Kegelisahan melihat bangsa sendiri yang mudah menerima dan mempratikan nilai-nilai baru, termasuklah yang merosakkan. Mudahnya mereka dipermaiankan, ramainya remaja kita yang sakit mungkin ibu bapanya tenat. Arus penjajahan baru memerlukan kita melatih pendekar baru yang dipasak perdunya, ditunjangi dengan syariat Islam. Mereka berupaya bersilat di dalam gelanggang yang besar.




3. Pandangan Silat di sekolah.

Aktiviti yang sihat ini amat digalakan. Bakat-bakat baru dicungkil, disemai, dan dibajai dari alam persekolahan. Pandangan lekeh orang terhadap silat harus dihentikan dan keterampilan silat itu lebih kemas. Pengenalan silat olahraga dan senaman tua memberikan pembelajaran baru kepada pelajar. Kepentingan kokurikulum sebagai syarat kemasukan ke IPTA, sewajarnya menyemarakkan aktiviti silat disekolah. Jika guru sendiri dapat memainkan peranan sebagai jurulatih amatlah baik.











4. Gym Silat Saya.

Mengangkat martabat silat adalah meletakkannya ditempat yang betul dan dihormati. Sebolehnya ia mengikuti arus semasa. Saya menyewa tingkat tiga kedai pejabat untuk dijadikan gelanggang, berusaha melengkapkan dengan alatan senaman dan silat. Ia menjadi tempat utama latihan pelajar-pelajar saya. Moga ia menjadi tempat pilihan pelajar ‘melepak’. Pelajar akan datang mengulangkaji pelajaran, menghabiskan kerja-kerja sekolah,mengaji(sedang diusahakan),belajar silat dan senaman tua. Jika berkemampuan saya bercadang untuk menyediakan tuisyen untuk pesilat-pesilat. Keadaan ini telah membantu saya melahirkan ramai pesilat-pesilat yang baik dalam silat olahraga dan silat seni,telah bermain dan mewakili daerah,negeri,kebangsaan dan Jemputan Asean. Mereka juga adalah pelajar yang cemerlang dalam akademik serta bersahsiah baik. Kami juga mempunyai kumpulan gendang silat.

Pelajar dewasa ia menjadikan gelanggang tempat pertemuan, bina badan, bersenam dan bersilat. Turut dirancang untuk mengadakan kelas bimbingan agama, majlis ilmu, dan kursus mengenai silat contoh silat tempur, silat olahraga dan bela diri wanita. Moga gym ini menjadi wadah kepada anak didik saya. Walaubagaimanapun saya menghadapi beberapa kekangan seperti kewangan dan tenaga pengajar. Saya memerlukan ramai pesilat dan rakan-rakan yang sanggup sama-sama berjuang susah senang dan ikhlas untuk mengangkat martabat silat khususnya Silat Kalimah Panglima Tangkas.




5. Wawasan Saya.

Adapun saya menyampai bukan kerana nama, tidak sekali memperaga gagah, bukan jua mencari laba. Sayang akan warisan budaya, kasih akan anak bangsa, menyerlah ketamadunan pahlawan Melayu.

Membawa ilmu persilatan menjadi satu, satu pecahnya seribu, tidak berliku, mudah, tepat dan cepat.warisan permainan guru-guru tua. Memakai kaedah dan berkaedah, petua dan adat, sebab dan beradat. Itulah saya dalam Kalimah Panglima Tangkas.

Mempelawa rakan dan taulan jangan berselingsing lengan mencari gelanggang. Henti sudah amalan lama. Mari mencurah ilmu di dada, melahir perwaris agar tak Melayu hilang di dunia.







Hidup bersama mengembang dan menyatu menjadi moto, agar satu hari Kalimah Panglima Tangkas tersebar di pelosok negeri.amalan mereka yang ikhlas dalam mencari redha Ilahi. Datang belajar bersungguh hati, hidup berbakti, mati berbudi.

Binasa manusia kerana tidak berilmu, binasa ilmu kerana tidak beramal, binasa amal kerana tidak ikhlas, binasa ikhlas kerana riak.



Cikgu Elmi Azham Shah.
Kalimah Panglima Tangkas.
23 jun 2006.

kalimah


Ayoh kita belajar bersilat

Wednesday, January 24, 2007

Lokasi





Pertubuhan Seni Silat Kalimah Panglima Tangkas Negeri Selangor.PJS 1634/2005
42c Ting.3, Jln.Pasar baru 3, off Jln.Meru
41050 Klang, Selangor D.E.
Tel: 03-33449560
Waktu latihan: Selasa & Jumaat
(pilih satu hari sahaja)
jam 9.00 mlm - 10.30mlm
Sabtu 9.00 pagi - 10.30 pagi
2.30 ptg - 4.00 ptg
(pelajar sekolah)
Latihan silat dan senaman melayu(senaman petua). Bayaran Dewasa RM40.00 sebulan ,Pelajar RM20.00 sebulan. Bulan akan datang kelas senaman melayu pada pagi Ahad jam 8.30 pagi - 9.30 pagi.

Silat kalimah panglima tangkas

Silat kalimah panglima tangkas sebagai riadah.Didalam nya terkandung beladiri dan bela~diri. Pegangan pesilat seperti terkandung didalam doa Iftitah.

Allahu akhbaru kabiraw-walhamdu lillahi kathiraw wasubhanallahi bukrataw-wa-asila. Wajjahtu wajhia lillazi fataras sama-wati wal-ardha hanifam-muslimaw-wama ana minal-musyrikin. Inna salati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil-'alamin. La syarikalahu wabizalika umirtu wa ana minal muslimin.

Allah maha besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan maha suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah seru sekian alam. Sekali-kali tidak aku menyekutukan-Nya. dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam.

Thursday, January 18, 2007

Kecergasan

Islam memandang tinggi kedudukan mereka yang beriman dan gagah berbanding mereka yang lemah. Rasulullah saw. bersabda bermaksud" Orang mukmin yang gagah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Riwayat Muslim).

Hal ini juga ditekankan oleh alQuran melalui firmannya bermaksud "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sangupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang( yang dengan persiapan itu) kamu mengentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya...(Surah an-Anfal,ayat 60).

Maka Islam menganjurkan kita supaya mempelajari ilmu berkaitan ketenteraan dan kekuatan.
Antaranya menerusi latihan riadah. Hak ini kerana ia bukan sahaja menguatkan badan, malah mempertajamkan kemahiran seseorang.

Justeru, Islam menganjurkan umatnya supaya mempelajari cara memanah, berenang dan menunggang kuda. Hal ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah bermaksud "Tiap-tiap sesuatu yang tiada kaitannya dengan zikir kepada Allah dikira lahwun(sia-sia) atau lupa kepada Allah, kecuali empat pekara iaitu kepergian manusia antara dua matlamat (iaitu bermain panah),mengajar kudanya, bermain-main dengan isterinya dan belajar berenang"(Riwayat at-Tabarani)